Selasa, 30 Mac 2010

MENDEKATI MASYARAKAT ASLI PERLU BERSTRATEGI

Posted by PERKIM UniSZA On 5:11 PG | No comments

Oleh W. RAHIMAH DRAMAN

JANGAN tipu Orang Asli. Kami tidak mudah ditipu dan payah untuk diyakini oleh orang luar, terutama dari bandar.

“Kalau mahu kami percaya, yakin dan terima ‘orang luar’, jangan pandang rendah dan jijik dengan cara dan budaya hidup masyarakat kami.”

Demikian ingatan jujur Tok Batin Husin Ngah Yin, dari Perkampungan Orang Asli Hulu Gombak ketika menyuarakan kegelisahan masyarakatnya pada seminar Program Dakwah Orang Asli yang berlangsung di kompleks Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada 16 November lalu.

Orang luar menurut Tok Batin Husin, hanya boleh menjadi ‘saudara’ Orang Asli jika mereka datang, duduk, makan, bergaul dan tinggal bersama dan sedia melalui amalan budaya hidup mereka.

Beliau menyuarakan sedemikian ekoran jarang berlaku pendakwah muslim tempatan negara ini berminat untuk menjelajah dan tinggal di perkampungan Orang Asli dalam menjalankan kerja dakwah.

Jika ada yang turun padang pun beritahunya, pendakwah sama ada dari agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan, sekadar datang bagi mengislamkan Orang Asli bukan memuslimkan mereka.

Pendakwah Islam menurutnya, tidak ada bezanya dengan orang politik. Mereka datang apabila menjelang pilihan raya, tetapi selepas itu lesap dan tidak pernah menjenguk atau bertanya khabar lagi sehingga tiba pilihan raya berikutnya pula.

“Sebenarnya apa yang dibuat oleh agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan Islam sekarang tidak diperlukan oleh Orang Asli,” jelasnya.

Sebaliknya apa yang diperlukan oleh Orang Asli mengenai keagamaan ialah mengetahui di mana Tuhan dan untuk siapa serta di mana boleh dapat syurga, tegasnya.

Sebab itu beritahu Tok Batin Husin lagi, untuk berdakwah kepada masyarakat Orang Asli mereka perlu bijak dalam mengguna pendekatan perkara-perkara yang jelas lagi nyata. “Inilah pendekatan pendakyah Kristian sehingga mereka berjaya mempengaruhi Orang Asli biarpun hakikatnya mereka tidak yakin dan sukar menerima konsep tiga tuhan dalam doktrin Kristian yang disogokkan kepada mereka,” jelasnya.

Seminar program dakwah untuk masyarakat Orang Asli itu diadakan atas usaha Persatuan Alumni Kolej Islam Klang dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Program setengah hari itu telah dihadiri oleh penggiat kerja-kerja dakwah di kalangan badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan individu sekitar Lembah Klang.

Bagi Tok Batin Husin, Orang Asli dan Orang Melayu adalah serupa.

“Kita sama-sama rakyat pribumi. Jadi biarlah susah dan senang dikongsi bersama, bukan terus memencil dan meminggirkan Orang Asli sama ada dalam pembangunan mahupun keagamaan,” ujarnya.

Walaupun Orang Asli asalnya tidak ada apa-apa pegangan keagamaan dan masih terlalu banyak yang buta huruf, tetapi peredaran masa dan keadaan kata beliau, tetapi keinginan untuk mengenal dan mempercayai Tuhan telah wujud dan semakin tinggi.

Orang Asli menurut Tok Batin Husin, adalah masyarakat yang penuh budi bahasa dan lembut terhadap orang luar, sebagaimana orang Melayu.

Tetapi dalam komuniti Orang Asli sendiri tegas beliau, mereka sebenarnya garang, liar dan agak ganas.

“Sebenarnya ramai dari kalangan masyarakat kami sekarang sedang mencari dan ternanti-nanti orang yang boleh menunjukkan mereka jalan kepada Tuhan,” jelasnya.

Menurut Jasut Yusof pula, Orang Asli yang telah diislamkan mesti terus didampingi oleh para pendakwah bukan hanya untuk menyampaikan ceramah.

“Mereka perlu didakwah secara fizikal dan lahiriah, sama ada menyedia dan membekalkan pelbagai keperluan asas hidup atau terus berkampung bersama mereka,” beritahu pegawai kesihatan Hospital Orang Asli Gombak itu.

Sikap dan pendekatan itulah beritahu Jasut, diamalkan oleh mubaligh dan kalangan pendakyah Kristian.

Menurutnya, para mubaligh bukan Melayu gemar berhijrah dan bermastautin di kampung-kampung Orang Asli dan menjadi sebahagian daripada kelompok kami demi menjayakan misi Kristian mereka.

“Tetapi ini tidak dilakukan oleh pendakwah Islam dan orang Melayu terutamanya, sebab mereka tidak dapat menerima cara dan budaya hidup Orang Asli di pendalaman.”

Sedangkan kebanyakan masyarakat kami lebih meyakini Islam sebagai agama bukan Kristian atau yang lainya, tambahnya.

Kata Jasut, Orang Asli ada 18 sukuan etnik dan masing-masing mempunyai bahasa, budaya hidup, kepercayaan dan amalan yang berbeza.

“Jadi adalah lebih mudah bagi mana-mana pendakwah mengenali sukuan etnik berkenaan dan menjadikan Tok Batin atau yang berpengaruh dalam sesuatu sukuan sebagai sahabat serta saudara sendiri,” jelasnya.

sumber: Utusan Malaysia [9/12/2008]

0 comments:

Catat Ulasan

HUBUNGI

perkim_udm@yahoo.com